Kisah Maulid Saya

Assalamualaikum

Kalau saya berjaya menulis artikel kali ini, ketahuilah saya telah berjaya menulisnya setelah dipadam dua kali, kerana setiap penulisan terasa amat lekeh bahasa saya, untuk bercerita tentang sosok yang tanpa kita sedar, hanya kita hargai juga telusuri pengorbanannya sekali setahun ini. (Itu pun kalau ada orang beritahu kita kenapa ada cuti tambahan minggu ini).

Entahlah. 

Penulisan pertama tadi hendaknya ingin bercerita tentang Nabi sebagai seorang yang sangat berkasih sayang. Bagaimana Nabi melarang apabila ada sahabat Baginda yang mengejek sahabat lain, kerana itu tanda masih ada karat jahiliyyah dalam hati kita. 

Namun kita di Malaysia masih mengadakan sesi memaki hamun setiap kali ada isu apa-apa timbul (mungkin lebih teruk dari karat, mungkin). Tidak kisah apa isunya sekalipun, perpecahan akan berlaku mungkin hanya kerana soalan "lapan ke dua puluh?" atau "berarak itu sunnah ke bidaah?" atau mungkin, "kerajaan ini masuk pintu mana?".

Kita bergaduh, dan terus bergaduh. Statik dengan sikap lama, dan terus statik.
Tapi dirasakan penulisan ini macam akan dikatakan terlalu klise dan sensitif. Mungkin ia tidak klise mahupun sensitif sebenarnya, namun mungkin kita yang ego untuk membuang ego kita, bahawa kita selalu bergaduh tentang isu yang amat remeh hingga kita lupa intisari yang bermanfaat dari apa yang kita perselisihkan. Hendak berarak atau tidak? Mungkin embuat pilihan itu lebih penting dari mengetahui keperibadian sosok yang berjuang untuk melihat kita masuk syurga ini.

Mungkin, entahlah.

Penulisan kedua juga dipadam juga, tidak silap saya hendak ceritakan Nabi sebagai manusia yang bervisi, berwawasan dan berprinsip.

Nabi, ada satu saat Baginda ada peluang untuk menjadi ketua di Mekkah setelah dipelawa menjadi Raja Mekah. Nabi boleh sahaja menaiki takhta, berpura-pura menghentikan dakwah, kemudian secara tiba-tiba menyeru semula kepada Islam. Dengan itu lebih mudah ingin menyebar islam kerana kedudukan politik yang lebih kukuh. Namun itu melanggar prinsip agama, maka Nabi tolak.

Mekkah itu suka benar dibuli kuasa besar seperti Parsi dan Rom, dengan semangat Nasionalisme, Nabi boleh sahaja kalau hendak menggunakan semangat itu untuk menyeru segala suku arab menentang kerajaan Parsi. Apabila jatuh Parsi, Nabi boleh menyeru kepada Islam ketika itu, kerana sudah berada di kedudukan yang gah. Namun proses yang umpama mi segera melanggar prinsip dakwah, maka Nabi tolak.

Tapi dirasakan topik ini ada yang katakan terlalu berat. "Orang kita belum bersedia ingin mendengar perbahasan ini, kita harus memberikan apa yang masyarakat suka terlebih dahulu." 

Hmm entahlah.

Itu sahajalah kisah diri saya sempena Maulid ini. Tak tahu bila akan siap penulisan saya benar-benar lengkap tentang Nabi. Diharapkan kisah saya ini ada faedahnya.

Selamat menyambut Maulidur Rasul bagi yang menyambut.
Selamat mengenali Nabi bagi yang belum mengenal.

Assalamualaikum.








Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular