Pulang ke Sarang Episod 1

Assalamualaikum.😁

25.10.2020 adalah tarikh kali pertama saya pulang ke sarang tempat saya dididik selama 5 tahun di sebuah institusi yang saya hutangi segala jasa juga bakti. Saya pulang sebentar walaupun tidak lama, sempatlah juga saya melepas rindu yang telah lama terbuku di hati. Kendatipun sebenarnya, saya baru sahaja meniggalkan sarang ini tidak lebih dari 7 bulan (setelah tamat SMART), namun pautan hati ini terlalu kuat, hingga kalau ada bersembang dengan staf atau guru melalui aplikasi Whatsapp, soalan pertama akan saya tanyakan, “MASDAR apa khabar?”.
Saya tiba di Alor Setar, dan menginap semalaman di rumah murabbi yang amat disanjungi Cikgu Saadan Bin Haji Omar, Timbalan Mudir dan guru matapelajaran fizik saya dahulu. Tidak selesa saya dengan beberapa penggunaan istilah ‘bekas guru’. Bagi saya, sekali seseorang menjadi guru kita, selama-selamanya dia menjadi guru kita.

Pada keesokkan hari benda pertama saya tanyakan kepada akhi Izzuddin Khalis (anak Cikgu Saadan & senior di MASDAR dahulu), “Bila nak bertolak?”, mungkin penat juga dia hendak menjawab soalan tang diulang banyak kali itu. Maaf akhi.

Kami bertolak ke sekolah dan tiba pada pukul 10.30 pagi. Entah mengapa terasa amat teruja melihat bangunan yang dulu tempat kami berlari-lari bermain bersama rakan-rakan M4B dan batch-batch lainnya. Maka terkeluarlah ayat klise “Kan seronok kalau boleh putarkan masa”. Demikian manusia, ketika ada tidak dihargai, tika hilang baru hendak dicari mesin masa untuk kembali.

Saya kemudian terus ternampak sosok yang amat saya kenali, Ustaz Nasrul Islam, kerap juga saya berchit-chat bersama beliau melalui whatsapp. Terus beliau ajak saya memasuki biliknya yang juga bilik Cikgu Omar (PK HEM semasa saya bertugas sebagai pengawas). Kami memulakan perbualan dengan bertanya khabar, sebelum Cikgu Omar datang memasuki bilik dan terus membuka perbualan hal-hal semasa seperti politik dan peranan tarbiyyah. Itulah antara perkara yang paling saya rindui di sarang saya ini, perbincangan tentang topik semasa dan juga keterbukaan dalam perbincangan yang amat mengasah intelek.

Kemudian saya meminta diri, dapat pula saya bertemu Ustaz Al-Hami, Tuan Mudir yang amat kami kasihi juga hargai segala perjuangannya. Kemudian saya bertemu Ustaz Basri, warden asrama lelaki. Beliau memang luar biasa, sambil menyiapkan tesis di peringkat PhD, masih mampu mengendali 150 pelajar seorang diri sebagai warden tetap. Ramai lagi yang saya sempat jumpa, antaranya Ustazah Fatimah, Ustazah Khaleeda, Ustaz Fathi, Ustaz Busoyri, Ustaz Abdul Hadi, Cikgu Nik Asma’ dan beberapa lagi guru-guru saya. 

Sepertimana mereka yang dahulu, tidaklah lekang bait-bait hikmah dari lisan mereka. Itu juga amat kami rindui. Mereka berpesan dengan penuh keikhlasan, mungkin itu sebab akan kami sentiasa kenang manusia-manusia mulia ini.

Juga saya bertemu Cikgu Hasmiza dan Cikgu Hidayah, dua insan ini saya anggap ibu di sekolah, mereka yang sentiasa mendengar keluh kesah saya, menegur kesalahan saya sepanjang bertugas. Betapa gembira dan teruja hati saya bertemu dua insan ini, walau tidak sempat berbual panjang, mengetahui mereka sihat-sihat sahaja sudah cukup menyenangkan saya.

Tidak lupa berjumpa adik-adik, sempat berbual dengan beberapa pelajar di Tingakatan 5, menerangkan bagaimana penting untuk usaha mendaki tangga kejayaan SPM haruslah dilakukan bersama untuk kita menjadi bukan fardi, namun generasi yang akan mampu melakukan perubahan.

Kemuncak lawatan saya adalah bertemu, dengan guru Fiqh Dakwah kami, Cikgu Azmi dari MATRI, rezeki saya dapat bertemu beliau. Sempat bertanya beberapa soalan sebelum kami berpisah. Antaranya, bagaimana ingin menjadi istiqamah dalam fikrah juga halatuju dan siapakah yang berperanan untuk memastikan alumni terus tegak dalam fikrah. InsyaAllah akan selitkan jawappan beliau dalam tulisan akan datang.

Setelah membuat sebuah panggilan video bersama rakan-rakan di UIA, menunjukkan mereka sekeliling sekolah melalui atas talian, maka berakhirlah lawatan saya kali ini. Bukan untuk menambah cerita, tetapi memang hampir menitis air mata hendak meninggalkan tempat yang saya amat kasih itu. 

Terasa bagai melangkah semula ke dalam gua yang kelam sejak langkah pertama keluar dari kawasan berbiah solehah itu. Namun itulah hakikat kehidupan, dalam membentuk kemandirian diri kekadang kita harus terbang meninggalkan sarang, bagi kita ceritakan pada alam ini betapa indahnya, bukan sarang kita, namun apa yang membuatkan sarang itu amat berharga buat kita, tidaklah lain selain daripada Islam itu sendirilah yang menyebabkan kita merasa sarang itu amat berharga.

Mungkin sudah tiba masa kita, masa kita untuk membina sarang di tempat lain. Ya, saya yakin. Terima kasih sarang lama, takkan kami lupa akan dikau, akan kami pulang kepada engkau dengan berita bahawa “Kami berjaya membina sarang kami sendiri”.

Ulasan

  1. Giler2 la Dan,tak pernah tak padu

    BalasPadam
  2. Terbaikk.. Teruskan berkarya dan beri inspirasi kepada semua😁

    BalasPadam
  3. An interesting read. Language well organised n imparted. Points to pinder. Good to share with others.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan Popular