Hukum Newton Sebuah Solusi Politik

Assalamualaikum semua

Maaf bulan ini terasa kena banyak sedikit menulis dari biasa, menulis bagi saya suatu terapi untuk menghilangkan tekanan dari universiti.

Saya mengambil Foundation in Geoscience di Universiti Teknologi Petronas, namun tidaklah hari ini berhasrat untuk bercerita tentang apa-apa berkaitan sains walaupun tajuk tulisan kali ini ada kaitan dengan dengan Hukum Newton. 


Saya akan cuba sedaya mungkin menunjukkan pada anda, bahawa konsep yang dibawa oleh Sir Isaac Newton ini bukan sahaja boleh diaplikasi dalam bidang sains, namun juga dalam polemik yang telah kita 'mesyuarat'kan sejak daripada sebelum merdeka lagi, iaitu isu Good Gorvenance.

Bagi saya sendiri, kita terlalu gemar merungut tentang isu-isu semasa dari sudut pandang yang bagi saya terlalu besifat binari.Ya binari. Iaitu sikap merasakan hanya ada dua pilihan bagi satu permasalahan.

Contoh yang paling sensasi ialah isu pentadbiran negara. kita selalu suarakan, "Ah, orang politik ini tidak boleh pakai semuanya!" atau mungkin "Bilalah agaknya kita akan mendapat pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat." Nampak? Bagai alam semesta ini hanya ada dua pilihan, pertama ahli politik yang berperangai 'haprak' yang selalu muncul, dan yang keduanya pula, ahli politik yang baik yang kita semua tunggu dia ini 'jatuh dari langit'.

Jika kita lihat dari hukum Newton, hukum ni menyatakan bahawa, suatu objek yang bergerak akan terus bergerak sehingga ada daya lain yang mampu bertindak ke atasnya. Contoh bagi Hukum Newton, sebuah troli akan bergerak apabila ada daya tujahan yang menggerakkan ia ke arah tertentu. Maka, seperti yang kita belajar walau di sekolah rendah, daya geseran akan bertindak ke atasnya bagi memperlahan tujahan atau memberhentikannya. Atau mungkin ada daya lain yang mampu mengubah pergerakkannya ke arah yang lain dari arah asalnya.

Bagi menunjukkan teori ini ada kaitan dengan realiti kehidupan, kita bayangkan situasi sebenar ketika ini hari ini, tidak perlu pergi terlalu mendalam, kita cerita tentang pendidikan. Memang tidak pernah selesai pun polemik ini.

Bagi sesetengah pendapat, pendidikan kita tidak pernah bergerak seiring dengan bidang-bidang lain di negara kita, kalau bergerak sekalipun entahlah bergerak ke tujuan yang mana, lain menteri, lain kisahnya. Maka kita sedari, pendidikan ini penting namun manusia-manusia yang kita sendiri nobat di parlimen itu, menjadikan ia alat politik mereka, atau mungkin patut saya katakan 'senjata politik'. Maka kita seterusnya sedar, pendidikan tidak ubah seperti roda yang digerakkan oleh satu daya yang kita sendiri pun tahu arahnya itu salah. Maka kita berharap, sepertimana Hukum Newton sebentar tadi. Nanti akan adalah seorang atau dua orang ahli politik 'turun dari langit' menjadi daya kedua yang mampu mengubah ataupun sekurang-kurangnya menghentikan daya pada roda yang akan menyebabkan kita terjatuh ke dalam gaung kesengsaran itu.

Lihat, kita binari, hanya seperti ada dua pilihan. Tiada pilihan ketiga untuk menjadi daya kedua tadi, atau mungkin kita sendiri yang malas berfikir, kurang membaca dan secara tiba-tiba melaungkan "Apa nak jadi dengan anak bangsa kita, malas berfikir, malas membaca mereka tidak akan mampu merubah masa depan, ini semua salah sistem pendidikan kita yang tidak menerapkan nilai-nilai ini!"

Suka saya dengan keyakinan penyuara kata-kata ini, tetapi suka juga saya ingatkan beliau. Bahawa itu juga mungkin apa yang disebut oleh bapa-bapa kita dahulu, hari ini kita juga menyebutnya, esok anak kita menyebutnya, kita juga tidak ubah umpama roda tadi, terus berputar entah kemana.

Jika kita benar-benar ikhlas mengkritik, apa salahnya kita buka sedikit pemikiran kita, masalah pendidikan bukan sahaja tanggungjawab orang-orang politik, kita juga bertanggungjawab. Perlukah saya ingatkan kata-kata John F Kennedy "Jangan ditanya apa yang negara boleh beri pada anda, tetapi tanyalah apa yang anda boleh beri kepada negara".

Kembali kita kepada isu pendidikan tadi, bagi mengadakan daya kedua yang mampu memberi impak kepada negara kita yang umpama roda sedang bergerak menuju lembah kefanaan ini, saya tidak merasakan kita perlu menunggu apa-apa turun dari langit, atau menunggu masa hadapan yang tidak pasti, sebaliknya kita wajib sebagai suatu Nation, memberi idea, menjadi penggerak dan secara umumnya membawa perubahan bagi watan kita. Persis kata SonaOne dalam lagu Negaraku "Ini bukan negara aku, ini negara kita".

Masalah di Malaysia, memaki hamun dan kritik masalah semasa di twitter kitalah paling jaguh, bila diajak sama-sama membawa perubahan? Kita mengelak, dan memberikan tanggungjawab itu kepada pemuda masa akan datang. Tamsilnya? Apa yang dilakukan oleh YB Dr. Maszlee Malik, menjalakan #untukmalaysia, cuba untuk menyelesaikan masalah pendidikan negara, inilah contoh daya kedua yang hasil dari curahan idea rakyat.

Ini hanyalah leteran pada diri sendiri, jangan ada yang terasa. Kalau terasa pun, saya harap bermanfaat. Kalau tidak setuju, buat penulisan lain bantahlah tulisan saya ini.

Kembali kepada tajuk, begitulah Hukum Newton mungkin mampu menjadi penyelesaian buat kita semua. Mungkin akan ada teori penyelesaian lain, dan kalau-kalau ia lebih baik, apa salahnya diaplikasikan. Saya juga tidak mahu memupuk pemikiran binari dalam diri saya. Harap bermanfaat apa yang saya cuba sampaikan, harap juga anda faham tulisan kali ini walaupun sedikit kompleks dari penulisan sebelum ini. 

Ayuh, kita sama-sama menjadi gelombang kedua!

Terima kasih kerana sudi membaca.

Ulasan

  1. Mantap sekali penulisan saudara, cuma pada hemat saya saudara perlu kurangkan sifat apologetik, maksudnya sentiasa sahaja mahu meminta maaf. Saya faham ia adalah satu manifestasi merendah diri, ia adalah sifat yang baik, namun jika semua penulisan dimulakan dengan permohonan maaf, nampak seolah-olah penulis tidak begi yakin dengan dirinya, juga tidak mampu meyakinkan orang lain. Jika ia ditulis tanpa memohon maaf, saya pasti ia akan lebih berjaya dan meyakinkan. Apa-apa pun teruskan menulis!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih saudara Syed Ahmad Fathi atas nasihat, akan cuba saya praktikkan. Terima kasih juga atas kesudian membaca coretan ini.😁

      Padam

Catat Ulasan

Catatan Popular