Resensi Buku #5: Islam dan Sosialisme
Assalamualaikum semua.
Perkongsian resensi buku kali ini dilakukan lebih cepat dari sebelum ini kerana pembacaan saya yang paling terbaru tidaklah setebal mana. Ia merupakan karya ilmuwan dan pemikir yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia iaitu, Syed Hussein al-Attas.
Untuk rakyat Malaysia yang mengambil SPM, akan yakin selalu mendengar nama Syed Naquib al-Attas, adik kepada penulis buku yang ingin saya ceritakan hari ini.
Baik, karya kali ini bertajuk, Islam dan Sosialisme, bagi penuntut sekolah agama seperti saya, isme-isme yang selalu digembar-gemburkan tidak selari dengan islam adalah amat janggal dan asing bagi saya. Namun setelah mendengar beberapa ceramah dan ucapan Dr Maszlee Malik (sebelum beliau menjadi menteri) pemikiran saya mula dicabar.
Saya dicabar untuk melihat jagatraya, sebagai sebuah tempat yang berwarna-warni, penuh dengan keragaman manusia yang pelbagai. Jadi saya mula untuk membaca buku-buku yang menceritakan tentang isme-isme yang pelbagai seperti buku Berfikir Tentang Pemikiran oleh Syed Ahmad Fathi (Book Review ada di blog saya), dan sekarang saya sedang beralih buku untuk mengenali sosialisme dengan lebih dekat.
Menariknya buku Islam dan Sosialisme ini, ialah kritik tentang stigma terbesar dalam intelek kita, bahawa islam dan sosialisme itu sebuah dua entiti yang antagonistik(saling berlawanan). Tepatkah itu?
Beliau pada awal menerangkan apakah perbezaan yang ada dalam aliran-aliran sosialime itu sendiri. Sosialisme yang dalam cepu kita adalah equal to komunisme, adalah andaian semata-semata. Bukan semua aliran sosialisme itu menolak agama. Itu hujahan yang agak penting bagi saya kerana ia berjaya membuka telinga saya untuk mendengar. Mungkin ada manfaat yang kita boleh ambil daripada mereka.
Beliau menegaskan beberapa kali, islam itu bersifat sosialis. Jikalau kita telusuri latar belakang sosialisme, ia lahir bilamana kaum buruh mula dinafikan hak mereka. Inilah basis hujah penulis. Hujah yang dibawa oleh Syed Hussein al-Attas bukanlah hujah kosong, beliau mampu menyatakan adanya nilai-nilai sosialis sudah Rasullah dan Khulafa' Rasyidun terapkan dalam sistem mereka berdasarkan dalil-dalil masyhur.
Masih lagi satu perenggan satu point untuk resensi buku kali ini. Jangan risau.
Ada banyak lagi hujahan yang berlaku dalam naskhakh yang hanya setebal 199 muka ini. Antaranya, kritikan terhadap beberapa ucapan dan panulisan oleh Abul A'la al-Maududi, Iqbal, Abul Hasan Nadvi dan yang paling saya terkejut dan tidak menyangka. Suatu bab khas, mengkritik buku dan thoughts Dr Mahathir Mohammad(1976) ketika beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri.
Kalau ada satu perkataan boleh mengambarkan buku ini, bagi saya semestinyalah epik. Kerana dalam buku ini ia benar-benar membuat saya berfikir semula tentang nilai yang saya pegang sebelum ini. Dan memungkin siapa jua boleh dikritik selagi mereka itu bukanlah manusia maksum.
Dan untuk soalan maha penting bagi kita. Buku ini berat tak?
Jangan risau, bagi saya tidak terlalu berat, mungkin skala beratnya 6/10, mungkin kerana ia nipis, tidak sempat hendak bosan.
Boleh dapatkan buku ini di toko buku atas talian, bolehlah memanfaatkan PKPB selama sebulan ini. Semoga bermanfaat.

Ulasan
Catat Ulasan