Mengapa Menulis?
Assalamualaikum, semoga sentiasa sihat, jaga diri dan jaga orang lain juga.
Saya sedang menulis di tengah malam, entah kenapa ada sesuatu yang mengatakan perlu menulis malam ini.
Jadi saya ikutkan sahaja, saya tulis artikel ini. Kenapa menulis? Bagi saya sendiri ada beberapa alasan. Ada bersifat peribadi, ada yang tidak.
Pertama, jujur, hanya untuk kepuasan diri sendiri. Kadang-kadang kita ada cerita yang ingin kita sampaikan atau ceritakan, tapi bagi orang seperti saya, tidak begitu petah berkata, ada terkadang susah nak jumpa perkataan bila bercakap. Jadi menulis adalah alternatif bagi saya. Seperti tulisan 'Kisah Maulid Saya'.
Tambahan pula terkadang nak menulis benda yang saya rasa tidak ada orang yang berminat nak mendengar. Mungkin kerana tidak ramai yang merasakan tahap signifikan yang sama dengan diri kita sendiri untuk sesuatu perkara. Seperti tulisan 'Pulang ke Sarang'. Bukan semua merasakan sekolah menengah adalah suatu perlara yang dirindukan. Saya tidak tahu siapa yang minat, jadi saya tulis, letak di group Whatsapp, siapa minat bacalah, siapa tidak berminat tidak perlu baca, mudah.
Kedua, meningkatkan pembacaan. Hendak menulis, perlu tahu dahulu tajuk. Sudah tahu tajuk, perlu cari pula isinya. Sudah cari isi, harus pula cari huraiannya. Huraian ada banyak, nak ambil mana satu pula. Ia menambah pembacaan, menambah kerja yang harus dibuat.
Maka terpaksalah saya korbankan hal-hal lain. Baru-baru ini terpaksa buang banyak aplikasi berkenaan beli belah, kalau ada banyak, banyak juga duit hendak diguna, maka kurang duit hendak membeli buku. Kemudian saya uninstall pula PES 2021. Entah sampai bila bertahan, tapi saya gembira, setakat ini hasilnya positif. Masa yang sebelum ini saya gunakan untuk permainan video, boleh saya selesaikan perkara lain. Maka bertambah sedikit masa membaca.
Ketiga, yang ini panjang sedikit huraiannya. Saya hendak berkongsi perkara yang bagi saya ada manfaatnya. Ada yang mengatakan kepada saya, menulis yang baik di Whatsapp bukan jalan dakwah yang sebenar, ia sekadar memenuhi tuntutan agar kita bercakap baik di mana sahaja. Saya pun musykil dengan kenyataan ini. Mungkin salah saya tidak meminta yang memberi kenyataan itu menerangkan sedikit kenyataan beliau.
Entahlah, saya bukan tidak bersetuju, namun bagi saya, apakah salahnya sebelum kita menilai sebuah perkara yang orang lain buat, samada ia melalui kaedah dakwah yang kita setujui atau tidak, fahami dahulu mengapa dia menulis apa yang dia tulis. Sedih orang itu. Yang orang itu tahu Nabi suka menghargai usaha orang lain. Betulkan kalau orang itu salah, dia tidak sealim anda.
Apa-apa pun, bagi saya walau anda budak tahfizkah, pondokkah, anda perlu tahu tentang apa fahaman orag lain, cara mereka berfikir dan sebagainya. Kerana ilmu adalah bahan dalam berkomunikasi, dan dakwah juga berkaitan komunikasi. Kerana itu saya kongsikan buku Islam dan Sosialisme, agar kita kenal sosialisme itu apa? Sosialis itu siapa? Islam Sosialis itu apa?
Kerana ada stigma dalam masyarakat. Contohnya, "Ah, orang yang percaya Tuhan namun tidak percaya agama, dan orang yang tidak percaya Tuhan langsung, mereka sama sahaja, semuanya kafir!". Betul sahabat, mereka kafir di sisi Tuhan. Namun cuba lihat dari sudut lain, kita sebagai manusia yang diamanahkan dengan dakwah. Bukankah approaching method untuk dua kumpulan ini berbeza, bukankah cara menjawab soalan mereka berbeza, kerana cara berfikir mereka yang berbeza? Saya juga tidak alim, perbetulkan kalau silap, tulis di ruang komen.
Entah, itu sahaja rasanya yang saya boleh kongsikan setakat ini, di lain masa saya akan kongsikan pula sebab-sebab lain.
Mungkin anda ada cadangan tentang apa patut saya tulis selepas ini, walaupun saya ada perancangan sendiri, idea anda penting agar penulisan saya sentiasa relevan. Tinggalkan di ruang komen.
Berjumpa lagi di lain masa.
Assalamualaikum.
Semoga bermanfaat.
"Saya percaya dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang."
Syed Ahmad Fathi


Mantap, teruskan menulis, satu hari nanti boleh dikumpulkan dan dibukukan.
BalasPadam