NUR - Sebuah Drama Kerugian.
Assalamualaikum, santai sahaja hari ini.
Sewaktu menunggu hari-hari hendak menjawab extended assignment sebagai pengganti kepada final test kami di campus tempoh hari, saya telah menghabiskan satu malam bermula pukul 8 malam sehingga 5 pagi menonton drama bersiri di Netflix berjudul 'Nur'.
Ya saya tahu, lambat juga sebenarnya saya mula menonton drama ini. Haha. Tetapi! Saya mula memahami kenapa rakan-rakan saya memang gemar menghiburkan diri dengan drama ini. Memang menarik. Sempar juga air mata dititiskan (saya jujur). Hehe.
Tetapi bagi saya rugi mengambil drama ini sekadar menjadi penguat mencari jodoh. Kenapa saya kata begitu?
Kalaupun kisah ini ala-ala percintaan dua darjat, tetapi banyak huraian yang boleh dibuat dan seterusnya mampu menjadi point yang tersendiri.
Pertama. Bagi insan yang selalu mengikuti usrah-usrah, ada satu scene yang saya ingin anda ingat semula. Iaitu sebuah sedutan drama di mana Datuk Haji Mohsen selaku penceramah di sebuah syarikat penyiaran, diasak dengan satu persoalan dimana beliau dituduh oleh salah seorang penonton sebagai seorang tokoh agama yang menyebabkan masyarakat merasa agama hanya untuk golongan tertentu. Sangat eksklusif. Terdiam juga Datuk Haji Mohsen awalnya, namun ayat "ramai juga ustaz di luar sana turun ke padang", berjaya menyelematkan dirinya.
Tanpa menafikan banyak asatizah turun ke medan bertemu masyarakat, saya masih ingin mengajak kita renung sebentar soalan yang diaju ini. Mungkin ada perspektif yang mengatakan individu yang bertanya tak perlu bertanya di tempat awam sebegitu rupa, umpama menjatuhkan maruah. Tetapi ini hanyalah plot yang menjadikan adegan lebih tampak digaris-bawahkan. Cuba kita lihat apa yang ingin cuba disampaikan. Adakah kita cukup ramah dengan masyarakat dan mengetahui peri dan hal mereka sebelum mereka ingin disampaikan dengan dakwah kita? Adakah kita sudah cukup melazimi mereka sehingga mereka merasakan agama adalah sesuatu yang perlu, kerana tanpa agama, mesti aku tidak boleh jadi sebaik atau seramah pendakwah ini? Itulah persoalannya.
Ada sebuah pergerakkan dakwah di Malaysia, yang saya tidak mahu sebutkan namanya di sini(anda boleh teka sendiri). Mereka ini tampak amat rapat dengan masyarakat, dalam sistem pendekatan mereka terdapat sesuatu wadah yang digelar 'dua jam setengah' ialah sebuah pendekatan mereka akan pergi ke kawasan sasaran dakwah, kemudian akan bergaul dengan penduduk kawasan setempat. Dari situ apa sahaja masalah yang berhubung dengan masalah keagamaan akan dibawa ke dalam mesyuarat, maka dari mesyuarat akan ada solusi yang akan dikeluarkan. Contoh, ada seorang atok hendak ke masjid, namun terlalu tua untuk memandu apa-apa kenderaan, maka akan dibuka siapa yang ingin secara sukarela mengambil atok ini setiap waktu solat, atau mungkin bergilir-gilir, bergantung pada mesyuarat. Tidak eksklusif, malah memberi solusi.
Kedua. Ustaz Adam pergi ke 'lorong-lorong gelap' mencari seorang wanita, dan dakwah menjadi justifikasi kepada perbuatannya. Bukan niat beliau yang ingin dijadikan polemik oleh saya, namun konteks wasilah dan wadah yang ingin saya ajak semua renung sejenak. Adakah dalam islam ada wasilah dakwah yang sebegini rupa, pergi berseorangan, berpakaian seperti orang ingin menyembunyikan identiti dan berbual dengan seorang wanita bukan mahram berduaan? Saya bukan pakar 'fiqh dakwah', tetapi ini bermain di fikiran saya saat menonton.
Mungkin akan ada orang menjustifikasikan wasilah Ustaz Adam dengan tidakan ikon terkenal Malaysia iaitu Ustaz Ebit Lew. Namun bagi saya ini hujah yang agak tempang, kerana Ustaz Ebit Lew pergi dengan perkumpulan, berbual para wanita dan lelaki yang rindu akan agama itu beramai-ramai, itulah beza Ustaz Adam dalam drama ini dan Ustaz Ebit Lew. Saya juga di sini bukan ingin mengecam pengarah, bagi saya para pengarah ialah orang seni, ada perkara yang ingin mereka sampaikan tetapi tidak langsung perkara itu ditulis di dalam dialog. Kita yang perlu berfikir. Dan mungkin, mungkin pendekatan dakwah ini yang dia ingin kita renungi. Mungkin.
Ketiga, bahagian paling menarik. Bagaimana Ustaz Adam dan ayahnya, ialah manusia yang amat mulia, kerana mempercayai, semua manusia berhak mendapat peluang memperbaiki diri menjadi lebih. Mereka tidak percaya kepada kakak dan ibu Ustaz Adam yang mengatakan, "Orang macam kita (orang agama) ini tidak layak pijak di tempat-tempat macam itu (lorong gelap)". Walau saya tidak setuju dengan metode yang dijalankan oleh Ustaz Adam, namun niat murninya saya sokong. Bukan mudah untuk seorang seperti beliau, anak kepada pendakwah terkenal pergi ke tempat sebegitu, dengan niat berdakwah pula itu. Hebat! Namun yang ingin saya sampaikan, kita haruslah merobohkan segala tembok perbezaan darjat, dan tiadalah kita dapat bertemu perkara ini sehingga kita sedari, tiada beza tuan dan hamba, kecuali taqwa di sisi Tuhan alam semesta.
Untuk yang tidak menyenangi drama ini atas dasar memburukkan imej pengetua sekolah anak yatim dan sekolah berlatar agama khususnya. Saya beranggapan inilah seni, memberi tahu umum apa yang tidak zahir di mata, menyedarkan kita isu ini wujud. Apabila ada adegan dalam filem, seorang pemandu teksi merompak penumpang, tidak bermakna semua pemandu teksi begitu, kita cuma dikempen supaya berhati-hati.
Mungkin itu sahaja yang sempat saya kongsi kali ini, bertemu lagi di lain masa. Akhir kata, rugi kita jika sekadar mengambil kisah ini hanya sebagai booster mencari jodoh. Harusnya kita sedar drama ialah seni, seni sepatutnya memberi makna dalam hidup kita. Hasil seni yang baik, adalah hasil seni yang pelbagai boleh kita pelajari daripadanya. Kalau kita tidak mengambil, kita yang rugi.
Kesimpulan, drama Nur ini, memang berisi dan mantul!
Assalamualaikum.

Ulasan
Catat Ulasan