Kisah Cinta Saya
Assalamualaikum semua.
Apa khabar semuanya?
Ya ini kisah cinta saya, bukan pada insan, tetapi pada sebuah negara bergelar INDONESIA. "Haduh, sudah peningkah Wildan ini? Diakan orang Malaysia". Ya baca dulu sampai habis.
Ia bermula dengan suatu tontonan saya pada filem 'Habibie dan Ainun'. Ia hanya sekadar kosong pada awalnya, hanya ambil tahu kisah cinta sepasang dua insan patriot Indonesia ini. Tamat. Namun sampai suatu apabila saya sendiri sudah besar panjang, keluar sebuah video rakaman ML Studio bercerita tentang Presiden Republik Indonesia ke-3 ini bernama BJ Habibie. Mula dari situ terfikir, mungkin kena tonton semula, agar dapat lebih mengenali sosok ini.
Jadi seperti biasa, mulalah taipan di Netflix, tetapi belum sempat habis taipan itu, muncul 2 filem. Satunya 'Habibie dan Ainun', yang kedua 'Rudy Habibie'. Apabila diamati di carian google, dapatlah diketahui filem Rudy Habibie mengisahkan tentang Tuan Presiden saat di menara gading. "Kalau begitu baik tengok yang ini dahulu", kata saya pada diri.
Maka tontonan dimulakan, mula-mula Rudy Habibie, kemudian Habibie dan Ainun. Plot kisahnya menarik, rakamannya cantik dan terserlah ketokohan pemimpin Indonesia ini. Bak kata orang kampung saya, everything is perfect.
Kemudian sudah mula minat dengan filem-filem berlatar patriotisme dari Indonesia, kita cari pula filem lain. Maka bertemulah kita berkenalan dengan Bapa Proklamator melalui filem 'Soekarno'. Kemudian berkenalan pula dengan Raden Adjeng Kartini. Bukan sahaja ketokohan mereka terserlah, kualiti filemnya juga bagus-bagus belaka, dipapar sudut menarik setiap tokoh. Baru saya tahu BJ Habibie seorang yang genius yang sebenar-benar genius. Periksanya nombor satu, membina kapal terbang, mengeluarkan teori fizik baru dan yang paling mengasyikkan, pemimipin mahasiswa yang bercita-cita memajukan negara melalui industri penerbangan walau rakan-rakan mencurigainya. Luar biasa.Tidak klise plotnya! Senag cerita, mind blowing!
Kualiti filem-filem ini menambah nafsu tontonan, meningkatkan pula keminatan, maka bertambah juga kenal, maka timbulah rasa cinta. Saya mula cintakan Indonesia!
Jangan risau, saya cinta Malaysia lebih lagi.
Namun bila kita bincangkan semula dengan rakan-rakan, keluarlah buah fikir baharu. Apa mungkin ini yang kita tiada di watan yang amat kita (mungkin) cintai ini. Kita cinta akan negara, adakah benar? Atau ia sekadar retorik semata-mata. Salah siapa kita masih ragu akan cinta negara? Kita? Kerajaan? Orang politik? Atau mungkin pakcik kita di kampung?
Ia adalah sesuatu yang debatable. Tapi yang saya ingin gambarkan di sini, bagaimana semaian semangat patriotisme bukan hanya terletak di buku teks darjah 2 atau mana-mana papan informasi berhias kad manila di sekolah-sekolah. Ia perlu mengelilingi kita, sama sepertimana kita gempar-gempurkan budaya asing sedang mengelilingi anak-anak kita. Semua itu hanya retorik penyedap kata-kata, agar semua kesalahan kita bebankan kepada generasi mendatang. Kita? Buatlah forum perbincangan tentang patriotisme. Atau ceramah pun boleh juga.
Mengapa tiada filem-filem yang mungkin tajuknya, Bapa Kita, yang mengisahkan Tunku Abdul Rahman ketika sedang belajar di London, mungkin. Saya tidak menyangkal adanya filem sebegitu. Contohnya, filem Tanda Putera dan filem 1957: Hati Malaya, yang masing-masing diterbitkan pada tahun 2012 dan 2007. Ya benar, dengan menyatakan tahun terbitan, anda sudah boleh meneka apa yang ingin saya katakan. 2012 boleh tahan lagi. 2007, umur saya 5 tahun, sekarang 2020, saya 18 tahun, anda hendak saya tonton filem ini?
Bukan memperkecil tetapi ia realiti. Kita hendak anak muda menonton filem-filem itu? Sedangkan mereka boleh sahaja mungkin menonton filem seperti Conjuring atau mungkin Pirates of The Caribbean yang lebih menarik plot dan cantik rakamannya.
"Apa kaitan mesej yang ingin disampaikan denga nilai yang ingin kita semai? Jangan memilih!" marah orang. Saya kata, kalau hendak dihaduah cincin pada isteri, letak dalam kotak hadiah, jangan letak dalam kotak keranda, takut nanti bukan setakat tidak terima, merajuk pula nanti. Lagi susah!
Bak kata orang kampung saya juga, biar bodoh, jangan sombong. Belajarlah dari negara jiran kita itu, buang yang keruh ambil yang jernih. Jangan pernah menyalahkan suasana moden yang membunuh patriotisme, bertambah moden (teknologi) itu suatu kewajaran, kerana di situ (kemajuan) akan temui banyak solusi. Antaranya? Semaian patriotisme itu sendiri. Senjata dibuat untuk melawan menjajah, bukan diguna bunuh diri sendiri, dan biarkan penjajah dapat meracuni.


Aslkm sdr Wildan. Bravo..👍
BalasPadamWaalaikumsalam, terima kasih.
Padam