Sistem ialah Politikus, Politikus Dipilih Kita.

 

Sebelum anda mempunyai apa-apa sudut fikir yang tidak saya harapkan, baiklah juga kiranya saya memuatkan keterangan ini bukanlah penulisan subversif. Ia hanya sekadar penulisan yang saya akui hanya tertinta kerana sedih melihat peri dan hal kita kini. Manusia celaru sukmanya, mencari minhaj penyelesaian masalah mereka yang tidak muncul-muncul sejak kuman durjana si covid itu menunjukkan amuknya pada hari pertama.

Cukup sedih kita melalui tahun-tahun yang berlegar dalam sebuah terowong kesepian yang belum kita tahu akan jalan keluarnya.

Antara banyaknya celaru kita itu, ada satu yang kita ambil kisah tapi saya kira belum cukup renungannya. Pada hemat saya cukup kurang yang memberi perhatian padanya, walaupun makanan di meja dapat menjamin hidup hari ini tapi saya cukup yakin pendidikan adalah buat semua orang, kerana semua orang yaknilah setiap dari kita berhak menentukan nasib juga takdir watan yang dipijak tiap hari ini.

Istilah the lost generation hanya burung retorik yang melayang tanpa dihirau oleh sekian manusia. Kita tahu tetapi langkah belum diorak lagi, sekadar memerah otak pun, tapi kalau hasil perahan hanya dibuang ke sungai yang mengalir ke lembah pembaziran, tidak jadi apa juga.

Apa yang saya cuba maksudkan adalah politikus, orang-orang yang patutnya menjadi asal-muasal segala penyelesaian tampaknya agak kaku tidak memberdayakan malah memperdayakan rakyat dengan ucapan di peti racun tanpa sebarang penyelesaian.

Hendak kata apa pun sebenarnya saya tidak tahu, seperti saya kata tadi, ini bukan tinta subversif, hanya coretan dari curahan isi hati yang belum kering mengeluarkan rasa betapa kecewanya saya dengan kerajaan yang ada sekarang. Oh silap, politikus sekarang. Ke laut semuanya.

Revival Pendidikan kita harus tuntas, segera dan kalis masa mendatang. Ibu saya juga guru, kadang saya renungi ibu saya, hairan juga, beliau ini sebenarnya guru atau kerani. Saat murid tidak mendapat kesempatan ilmu yang secukupnya, ‘sistem’ masih menyuruh mereka menilai guru, key-in markah kemudian kena pula memikirkan bagaimana nak buat peperiksaan.

Sudahlah kesempatan menadah ilmu tidak diberi, malah sistem ini masih memikirkan bagaimana hendak bagi sekalian pelajar ini tidak mampu menjawab soalan periksa. Entahlah belalang.

Disuruhnya kita tengok TV


Ini bagi saya perlu didiagnos dan di cari salah kita di mana. Oh saya tahu! Mungkin salah kita memilih orang-orang yang bakal membuat keputusan buat kita. Kita memlilh mereka yang bila ada mesyuarat ponteng, bila menyuarat beku “Oh ini tidak demokratik!”.

Tuhan sendiri memberi kita pilihan, hendak guna duit membeli sebutir nasi buat anak di rumah yang belajarnya entah ke mana atau membayar tiket wayang melihat filem politikus yang sampai kiamat entah ada atau tiada endingnya. Kita yang perlu memilih. Tapi mereka memeras kita tetap membayar tiket ini.

Anak muda, seperti dulu yang saya pernah nukilkan. Jangan tunggu politikus yang tulen jati diri itu turun dari langit. 

Saya bukan di sini bukan hendak memberi cadangan, hanya ingin pupuk kesedaran. Buat apa saya fikirkan untuk kementerian atau Jawatankuasa Pentadbiran Negara nanti. Saya pun ada banyak assignment. Sekian.

Ulasan

Catatan Popular